DS NAJIB OPTIMIS PEMILIHAN UMNO 2013 LEBIH DEMOKRATIK!!

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak optimis pemilihan Umno tahun ini akan lebih memperlihatkan parti itu sebagai sebuah parti yang lebih terbuka, demokratik dan inklusif.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC, Najib menyatakan keyakinannya itu berdasarkan perlembagaan baharu yang menyaksikan seramai kira-kira 150,000 orang, jumlah yang lebih besar berbanding dahulu iaitu 2,600 orang ahlinya bakal menentukan kepimpinan tertinggi parti.

"Ini kita katakan kita mahu jadikan Umno lebih demokratik kerana jumlah yang memilih kepimpinan parti menjadi lebih ramai.

"Jika dibandingkan dalam lingkungan 150 ribu berbanding dulu, sekarang jumlah lebih besar yang mencerminkan hasrat dan semangat kita menjadikan Umno lebih terbuka dan demokratik dan lebih inklusif," kata Presiden Umno itu.

Pemilihan MT Umno akan diadakan pada 5 Oktober manakala pemilihan bagi pergerakan sayap-sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan dilakukan pada 28 September.

Pendaftaran calon bagi semua jawatan di peringkat ahli majlis tertinggi, bahagian dan pergerakan sayap diadakan pada 7 September di Badan Perhubungan Umno Negeri.

Najib berkata, dengan kedudukan pemilihan yang berdasarkan perlembagaan baharu, ahli-ahli Umno dapat memilih pemimpin yang akan meletakkan parti pada asas yang lebih kukuh.

"Ini bererti kepimpinan itu boleh diterima parti dan rakyat. Ini yang paling penting sekali kerana kita bukan sahaja hendak pemimpin yang berjaya dalam parti tetapi kita nak pemimpin yang berjaya dalam pilihan raya sekali," katanya.

Menurut Najib, Umno berharap untuk menjadi sebuah parti yang diterima sebagai parti pilihan rakyat.

Beliau menambah, sehubungan itu Umno perlu mengetengahkan pemimpin-pemimpin yang disenangi oleh rakyat.

"Maka proses pemilihan parti diharap dapat melontarkan mereka, yang kesudahannya mencerminkan imej yang positif di kalangan rakyat," katanya.

Menegaskan kuasa mutlak diberikan kepada ahli Umno untuk memilih individu yang dirasakan layak berada dalam senarai kepimpinan parti, beliau menganggarkan pelaksanaan dasar baru itu bakal menyaksikan kemunculan muka-muka baru.

"Ini terpulang kepada 150 ribu orang yang nak dipilih. Dengan kita membuka ruang dengan lebih luas, muka-muka baru mungkin lebih tinggi, tapi kita tengok perkembangannya," katanya.

Pada sidang media yang sama beliau turut mengumumkan setakat 22 Julai tahun ini, jumlah keseluruhan ahli Umno di seluruh negara telah meningkat kepada seramai 3,441,946 orang.

"Kedudukan keahlian Umno bermula 1 Januari 2013, sehingga 22 Julai 2013, adalah seperti berikut yakni penambahan bilangan ahli sebanyak 113 959 yang terbahagi kepada ahli biasa 9043, Wanita 17 841, Pemuda 48867, Puteri 38 208 menjadikan jumlah semuanya 113,959.

"Dengan pertambahan tersebut jumlah keseluruhan ahli Umno adalah 3,441 946," katanya. -ANTARAPOS
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment