Tidak Ada Istilah Pemilihan - TMJ

Hanya penyerahan  jawatan dalam kalangan ahli keluarga. Itulah yang disifatkan TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan Presiden FAM pada kongres badan induk itu, 25 Mei ini.

Ia merujuk penyerahan jawatan itu daripada Presiden FAM sekarang, Sultan Ahmad Shah kepada anakandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah, TMJ berkata, tidak akan ada istilah pemilihan sebenar pada kongres itu nanti.

“Saya tahu tidak ramai orang mahukan saya berada dalam FAM. Saya berterus terang, saya tidak berminat (jawatan Presiden FAM) kerana benda ini jelas tidak ada istilah pemilihan.

“Ia hanya akan diturunkan daripada ayah kepada anaknya dan saya rasa seluruh negara tahu.

“Saya tidak pandai berdrama depan rakyat Malaysia kononnya ada pemilihan. Pencalonan itu ada tetapi saya sendiri sudah tahu apa akan terjadi.

“Saya tidak terhegeh-hegeh atau harapkan sangat,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan pemain import baru Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini semalam.

Presiden PBNJ itu berkata, beliau cintakan bola sepak dan sudah melakukan perubahan di Johor.

“Insya-Allah saya boleh lakukan juga kepada negara tetapi jika ahli gabungan berasakan Tengku Abdullah lebih sesuai sebagai presiden, itu pilihan mereka dan saya hormati keputusan mereka.

“Saya harap Tengku Abdullah lakukan perubahan untuk bola sepak negara,” katanya dipetik Berita Harian.

No comments:

Post a Comment