DS NAJIB OPTIMIS PEMILIHAN UMNO 2013 LEBIH DEMOKRATIK!!

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak optimis pemilihan Umno tahun ini akan lebih memperlihatkan parti itu sebagai sebuah parti yang lebih terbuka, demokratik dan inklusif.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC, Najib menyatakan keyakinannya itu berdasarkan perlembagaan baharu yang menyaksikan seramai kira-kira 150,000 orang, jumlah yang lebih besar berbanding dahulu iaitu 2,600 orang ahlinya bakal menentukan kepimpinan tertinggi parti.

"Ini kita katakan kita mahu jadikan Umno lebih demokratik kerana jumlah yang memilih kepimpinan parti menjadi lebih ramai.

"Jika dibandingkan dalam lingkungan 150 ribu berbanding dulu, sekarang jumlah lebih besar yang mencerminkan hasrat dan semangat kita menjadikan Umno lebih terbuka dan demokratik dan lebih inklusif," kata Presiden Umno itu.

Pemilihan MT Umno akan diadakan pada 5 Oktober manakala pemilihan bagi pergerakan sayap-sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan dilakukan pada 28 September.

Pendaftaran calon bagi semua jawatan di peringkat ahli majlis tertinggi, bahagian dan pergerakan sayap diadakan pada 7 September di Badan Perhubungan Umno Negeri.

Najib berkata, dengan kedudukan pemilihan yang berdasarkan perlembagaan baharu, ahli-ahli Umno dapat memilih pemimpin yang akan meletakkan parti pada asas yang lebih kukuh.

"Ini bererti kepimpinan itu boleh diterima parti dan rakyat. Ini yang paling penting sekali kerana kita bukan sahaja hendak pemimpin yang berjaya dalam parti tetapi kita nak pemimpin yang berjaya dalam pilihan raya sekali," katanya.

Menurut Najib, Umno berharap untuk menjadi sebuah parti yang diterima sebagai parti pilihan rakyat.

Beliau menambah, sehubungan itu Umno perlu mengetengahkan pemimpin-pemimpin yang disenangi oleh rakyat.

"Maka proses pemilihan parti diharap dapat melontarkan mereka, yang kesudahannya mencerminkan imej yang positif di kalangan rakyat," katanya.

Menegaskan kuasa mutlak diberikan kepada ahli Umno untuk memilih individu yang dirasakan layak berada dalam senarai kepimpinan parti, beliau menganggarkan pelaksanaan dasar baru itu bakal menyaksikan kemunculan muka-muka baru.

"Ini terpulang kepada 150 ribu orang yang nak dipilih. Dengan kita membuka ruang dengan lebih luas, muka-muka baru mungkin lebih tinggi, tapi kita tengok perkembangannya," katanya.

Pada sidang media yang sama beliau turut mengumumkan setakat 22 Julai tahun ini, jumlah keseluruhan ahli Umno di seluruh negara telah meningkat kepada seramai 3,441,946 orang.

"Kedudukan keahlian Umno bermula 1 Januari 2013, sehingga 22 Julai 2013, adalah seperti berikut yakni penambahan bilangan ahli sebanyak 113 959 yang terbahagi kepada ahli biasa 9043, Wanita 17 841, Pemuda 48867, Puteri 38 208 menjadikan jumlah semuanya 113,959.

"Dengan pertambahan tersebut jumlah keseluruhan ahli Umno adalah 3,441 946," katanya. -ANTARAPOS
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

‘Raikanlah Aidilfitri Bersama-sama Tanpa Mengira Spesies’ Hina Islam

Kuala Lumpur: Ketika isu menghina Islam masih hangat diperkatakan umum, muncul satu lagi klip video yang tersebar di Internet yang dipercayai mempunyai tujuan serupa, sekali gus membangkitkan kemarahan masyarakat Islam negara ini.

Rakaman dengan durasi 1 minit 44 saat itu memaparkan seorang individu meraikan Aidilfitri bersama tiga anjing dengan berlatar belakang takbir raya serta lagu nyanyian Datuk M Nasir, Satu Hari Di Hari Raya.

Dengan tema 'Raikanlah Aidilfitri Bersama-sama Tanpa Mengira Spesies', permulaan rakaman itu memaparkan aksi individu itu lengkap memakai baju Melayu bersama anjing peliharaannya.

Seterusnya, anjing terbabit dibasuh dan dilap dengan penuh kasih sayang sebelum dihidangkan dengan kuih raya di atas meja sebelum diakhiri dengan ucapan Aidilfitri.

KLIP video yang memaparkan individu terbabit meraikan Aidilfitri bersama tiga anjing yang tersebar dalam Internet.

Individu itu kemudian membasuh kaki anjing, sebelum dia sendiri membersihkan kaki seolah-olah mengambil wuduk ketika takbir raya berkumandang.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Exco Pemuda UMNO Dan Sedarah MC Raikan Anak Yatim.

Bertempat di Restoran Tempayan di Sungai Buloh dua Exco Pemuda UMNO Malaysia iaitu Dato Sohaimi Shahadan dan Lokman Noor Adam bersama kelab motor yang dikenali dengan Sedarah telah meraikan anak yatim dalam majlis berbuka puasa.

Restoran yang juga milik Dato Sohaimi telah meraikan 50 orang anak yatim dari Teratak Che Dah yang melibatkan lebih kurang 100 pemilik motor berkuasa tinggi.

Anak-anak yatim yang diraikan telah dibawa untuk membeli keperluan raya serta dihadiahkan dengan pelbagai keperluan lain seperti beg sekolah dan duit raya. Difahamkan bahawa anak-anak yatim Teratak Che Dah ini sebelum ini dihalau keluar dari sebuah rumah anak yatim kerana tidak mampu membayar yuran sebanyak seratus lebih sebulan.

Di Teratak Che Dah, mereka tidak diurus oleh mana-mana syarikat. Mereka mengurus diri mereka sendiri dengan bantuan penduduk kampung sekitar Kundang.

http://m.youtube.com/watch?v=IY8LFGvLPUs&feature=youtube_gdata_player&desktop_uri=%2Fwatch%3Fv%3DIY8LFGvLPUs%26feature%3Dyoutube_gdata_player
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tayangan The New Village Ditangguh

Tayangan filem 'The New Village' ditangguh bagi membolehkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri meneliti semula kandungannya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata filem yang dijadual ditayang pada Ogos itu perlu ditapis semula dari segi plot cerita dan mesejnya.

Beliau berkata LPF memberi kelulusan kepada filem itu sejak tahun lepas namun ada media sosial dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membangkitkan tentang unsur komunisme dalam filem berkenaan.

Menteri itu bercakap kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Jabatan Penjara di Kuala Lumpur, Ahad malam.

Akhbar melaporkan pendedahan sebuah blog mengenai filem itu yang dilihat mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai 'hero' dan mempersoal bagaimana ia boleh ditayang pada bulan kemerdekaan sedangkan filem 'Tanda Putera', yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara dalam mendepani insiden 13 Mei, terpaksa ditangguh tayangan beberapa kali.-28/7/2013
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

"Tanda Putera Tak Boleh, The New Village Ok" Kenapa Jadi Begini?

Perkembangan terkini berhubung kelulusan tayangan filem 'The New Village' sangat mengecewakan saya. Sehingga kini majoriti rakyat negara ini ternanti-nanti bila filem "Tanda Putera" akan ditayangkan di pawagam negara ini.

Hanya kerana "Tanda Putera" menayangkan secebis babak sejarah peranan DAP dalam mencetuskan peristiwa 13 Mei, filem yang sarat dengan sejarah pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Dr Ismail telah dipeti sejukkan.

Lebih memilukan, tiba-tiba pula filem "The New Village" yang secara halus mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai hero dan meletakkan Rejimen Askar Melayu dan Polis yang ketika itu berkhidmat dengan British sebagai musuh dan 'orang jahat' yang perlu dihapuskan.

Tidak cukupkah buku-buku tulisan Dr Qua Kia Song dan sekutu ekstrimisnya yang secara terang-terangan cuba menulis semula sejarah kemerdekaan Negara ini? Mengapa begitu mudah filem dan buku yang secara jelas cuba menyeleweng fakta sejarah dan menghasut rakyat dibiarkan bermaharajalela.

Saya menyeru agar kabinet mengkaji semula dasar kerajaan berhubung penerbitan filem dan buku sedemikian rupa. Dan saya rayu agar kebenaran untuk menayangkan filem "Tanda Putera" yang telahpun dipersetujui oleh kabinet disegerakan tayangannya.

Saksikan sendiri sebahagian dari babak "The New Village" di sini https://www.youtube.com/watch?v=z98TpXJJjQY&feature=youtube_gdata_player

Lokman Noor Bin Adam
Exco Pemuda UMNO Malaysia
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Majlis Berbuka Puasa Ketua Penerangan Pemuda UMNO Indera Mahkota

Selasa 23 Julai 2013

Bertempat di Hotel Sri Manja, Kuantan telah diadakan majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh saudara Muhamad Faiz Hashim Ketua Penerangan Pemuda UMNO Indera Mahkota.




Majlis dihadiri dari kalangan ahli pemuda cawangan serta beberapa AJK Bahagian serta AJK Pemuda Bahagian. Dalam majlis ini juga diperkenalkan calon-calon yang akan bertanding di pemilihan UMNO Bahagian Indera Mahkota manakala saudara Muhamad Faiz Hashim akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota.

Sewajarnya calon seperti ini perlu diberi mandat berdasarkan gerak kerja beliau selama ini yang bertunjangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air tanpa kepentingan diri. Pejuang seperti ini perlu diperbanyakan di dalam UMNO dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pusat.

Dalam program ini membuktikan beliau mendapat sokongan sebilangan besar pemuda-pemuda UMNO cawangan dalam UMNO Bahagian Indera Mahkota. Rata-rata ahli pemuda di peringkat cawangan mahukan pejuang dan bukan pejuWANG memimpin di peringkat Pemuda Bahagian.

Keadaan ini perlu ada dalam UMNO yang dilihat semakin tidak diterima oleh golongan muda. UMNO sering dikaitkan dengan pemimpin yang mengejar jawatan untuk meraih kekayaan. Golongan muda perlu diberi mandat dalam UMNO untuk memberi ruang kepada orang muda menyuarakan pejuangan mereka.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Apa Pendirian PAS?

Oleh : Shen Yee Aun (SYA) adalah Penganalisis Politik, Presiden Pertubuhan Hak Belia Malaysia, Pengasas blog SYA For The Nation

1. Nurul Izzah Melayu bebas memilih agama mereka

Nurul Izzah pernah menjadi ahli panel dalam forum tersebut yang bertajuk "Islamic State: Which version? Whose responsibility?" di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang. Dalam forum tersebut Nurul Izzah pernah mengatakan bahawa Melayu di negara Malaysia juga bebas untuk memilih agama mereka. Oleh itu, apakah sebenarnya pendirian rasmi Pas dalam pendapat Nurul Izzah ini?

2. Isu kalimah Allah

Isu ini mula menjadi hangat apabila Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP pada 25 Disember 2012 menyatakan penganut Kristian patut dibenarkan untuk menggunakan perkataan Allah. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersetuju dengan pendirian Guan Eng. Dalam isu ini terdapat percanggahan dalam kalangan pemimpin Pas dan apa sebenarnya pendirian rasmi Pas dalam isu ini?

3. Pembatalan Pasar Ramadan

Setiausaha Publisiti DAP iaitu Tony Pua menyatakan bahawa pasar Ramadan perlu dibatalkan. "Saya rasakan kalau satu pasar malam mahupun pasar tani atau pasar Ramadan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas, maka semua pasar-pasar dan pasar tani di Melaka atau mana-mana negeri perlu dibatalkan secara langsung.

Kenyataan ini mula berbangkit apabila timbulnya isu penutupan sementara Jonker Street di Melaka. Isu ini dieksploitasi sepenuhnya oleh DAP apabila Tony Pua cuba memainkan isu perkauman dengan memutar belitkan kenyataan bahawa isu ini adalah hukuman kepada masyarakat Cina. Apa yang disembunyikan oleh Tony Pua adalah kebenaran bahawa yang menentang penubuhan dan kewujudan Jonker Street suatu ketika dahulu adalah Betty Chew sendiri apabila beliau menjadi ahli Parlimen di kawasan tersebut. Adakah dalam isu ini Tony Pua hendak mengatakan isteri Setiausaha Agung DAP yang juga menantu Lim Kit Siang hendak menghukum masyarakat Cina suatu ketika dahulu apabila kewujudan Jonker Street yang diperjuangkan oleh MCA ditentang DAP?

Oleh itu, adakah dalam bulan Ramadan yang mulia ini masyarakat Melayu tidak dibenarkan berniaga dan apakah rasionalnya pasar Ramadhan yang berlangsung setahun sekali juga hendak dipersoalkan oleh individu tertentu?

4. Pengurangan minimum setengah juta kakitangan awam

Tony Pua juga pernah menyatakan bahawa sekiranya pakatan pembangkang memerintah maka pengurangan kakitangan awam akan berlaku secara berperingkat-peringkat. Difahamkan separuh daripada bilangan kakitangan awam yang sedia ada akan dikurangkan. Sekurang-kurangnya kakitangan awam di negara ini mencacah 1.4 juta orang dan sekurang-kurang 80 peratus masyarakat Melayu berkhidmat dalam sektor berkenaan. Sekiranya benar cadangan Tony Pua hendak diaplikasikan maka sekurang-kurangnya 500,000 ribu pekerja dan keluarga Melayu akan kehilangan pekerjaan mereka.

5. Mempertikai titah Sultan Johor dan Undang-Undang Tubuh Johor 1895

Sultan Johor juga mengingatkan kesemua wakil rakyat supaya memahami isi kandungan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan mematuhi peraturan serta tatacara Dewan Undangan Negeri Johor. Kerajaan Negeri Johor, menurut baginda, telah ditubuhkan lebih awal daripada kerajaan Malaysia di mana telah berpegang lama kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Apakah pendirian Pas apabila pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Ketua Pemuda MCA iaitu Wee Ka Siong mempersoalkan pelantikan Datuk Tee Siew Keong sebagai salah seorang anggota Exco negeri Johor?

6. Anwar: Titah Yang di-Pertuan Agong boleh dipertikai

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ketika merasmikan pembukaan Penggal Pertama, Persidangan Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat pada baru-baru ini bukan suatu arahan, sebaliknya boleh dibahas dan dipertikai. Adakah parti Pas turut berkongsi pendirian yang sama dalam isu ini atau sebaliknya?

7. Kezaliman RBA yang ditentang oleh Islam

Red Bean Army (RBA) merupakan satu entiti bukan sahaja bahaya tetapi amat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Dalam mana-mana agama di dunia ini termasuk agama Islam turut melarang operasi mengaibkan pihak lawan secara keterlaluan dan perkara ini telah dilakukan setiap hari oleh RBA sehingga ramai rakyat Malaysia tidak berdosa menjadi mangsanya. Tahap penipuan dan serangan RBA di alam siber mencapai satu tahap yang mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara ini. Apa sebenarnya pandangan Pas dalam isu RBA?

8. Penipuan fakta Lynas

Dalam isu Lynas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah berucap bahawa isu ini tidak boleh dimanipulasi faktanya dan merujuk kepada salah seorang pemimpin Pas iaitu Dr. Che Rosli Che Mat selaku pakar Nuklear yang menyatakan tapak Lynas adalah selamat. Che Rosli berterus terang bahawa pandangannya bahawa tahap radiasi projek Lynas di Gebeng adalah rendah berdasarkan kajian saintifik. Maksudnya, jika ada mana-mana pihak nampak pendapatnya (Lynas adalah selamat) itu seolah-olah beliau tidak sehaluan dengan semua pemimpin pembangkang dalam isu Lynas, itu adalah soal politik sahaja. "Kita kena pergi pada saintifik. Saya bekerjasama dengan kementerian mana yang mampu tetapi jangan cuba politikkan.

Mengapa pula dalam isu ini Pas tidak berani tampil ke hadapan untuk menyelar tindakan DAP dan PKR yang mencipta persepsi bahawa Lynas adalah sebuah loji nuklear yang tidak selamat?

9. Isu calon pengedar dadah dan Marxis PKR dalam PRU-13

Pas merupakan sekutu rakan PKR dalam pakatan pembangkangt. Namun begitu semasa kempen PRU-1, Hadi Awang pernah menyatakan bahawa PKR meletak calon salah iaitu pengedar dadah dan berfahaman Marxisme. Ini mengakibatkan berlaku pertembungan tujuh kerusi antara Pas dan PKR pada PRU-13. Oleh itu, apakah sebenarnya pendirian rasmi Pas dalam kerjasama antara Pas dan PKR dimana PKR telah dikatakan menyokong calon pengedar dadah dan pengikut Marxis?

10. Misteri tanah untuk pembangunan masjid dan sekolah oleh pakatan pembangkang Selangor

Mengikut perundangan bahawa setiap pembangunan komersial di sesuatu tempat maka satu pertiga daripada tanah tersebut mesti diperuntukkan kepada pembangunan komuniti. Pemaju awal di kawasan berkaitan (Damansara Perdana) adalah MK Land dan syarikat berkenaan sudah pun menghantar pelan perancangan bandar mereka yang menepati perundangan di sesebuah kawasan iaitu satu pertiga daripada sebarang pembangunan mesti dikhaskan kepada pembangunan tanah komuniti iaitu masjid dan sekolah.

Persoalan kini, mengapakah tanah untuk pembinaan masjid dan sekolah seperti yang dinyatakan dalam pelan awal perancangan bandar tersebut kini digunakan untuk pembangunan komersial? (dilaporkan oleh blog 1sya.com dan http://www.anwaraidc.com/. Keadaan ini hanya berlaku apabila berlakunya pertukaran pemaju daripada MK Land kepada Mamoooth Empiree? Adakah pembangunan oleh pemaju baharu mendapat kebenaran daripada kerajaan pakatan pembangkang Selangor ?

Apakah berlaku proses pembatalan pelan perancangan bandar yang pada mulanya ada peruntukan untuk pembinaan masjid dan sekolah tetapi telah bertukar menjadi pembangunan komersial? Adakah terdapatnya pertukaran tanah untuk pembinaan masjid dan sekolah di kawasan lain?

Adakah terdapat penggantian tanah untuk masjid dan sekolah yang sepatutnya ada di kawasan tersebut? Apakah sebenarnya berlaku dalam isu ini? Mengapa tanah yang sepatutnya digunakan untuk pembinaan masjid dan sekolah tiba-tiba hilang?

Rakyat Malaysia mengharapkan Pas Pusat dan Selangor akan mendapatkan jawapan daripada kerajaan Pakatan Rakyat dan menyoal PKR dan DAP apakah sebenarnya status tanah masjid dan sekolah untuk kegunaan rakyat dalam isu misteri tanah komuniti pakatan pembangkang Selangor. Dijangkakan kedua-dua tanah (sekolah dan masjid) bernilai sekitar RM50 juta hingga RM150 juta.

http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130721/re_05/Apa-sebenarnya-pendirian-Pas
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Amaran Buat Pengganas Sulu

BAGAN DATOH: Kerajaan memberi amaran kepada pengganas Sulu supaya jangan cuba mengugut untuk masuk semula ke Sabah bagi tujuan membalas dendam selepas insiden pencerobohan Februari lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan polis dan tentera yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang ancaman kumpulan itu.

"Jangan cuba ugut kami. Jangan cuba melakukan sesuatu kerana bukan sekadar pihak polis dan tentera malah rakyat Malaysia akan bangun menentang ancaman daripada pengganas Sulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 455 orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di Bagan Datoh, Sabtu.

Ahmad Zahid mengulas tindakan Polis Sabah yang memulakan siasatan ke atas surat yang kononnya ditulis oleh militan Sulu yang mendakwa mereka akan datang ke Tambunan, Sabah untuk membalas dendam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata polis telah mengesan sumber surat itu walaupun ia disyaki tiada kaitan dengan pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu awal tahun ini.

Menurut laporan itu, surat bertarikh 3 Julai yang ditandatangani oleh 'Komando Militan' bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan memberi amaran bahawa mereka mahu memulakan perang di daerah Tambunan sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampong Tanduo, Lahad Datu, menjelang Ogos ini.

Ahmad Zahid berkata pelbagai khabar angin termasuk kononnya bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari juga akan datang ke Sabah. "Jangan dengar sebarang khabar angin.

Tidak ada orang nak bagi ugutan atau nak masuk...beritahu (kita) lebih awal. Jika benar mereka hendak masuk dalam bulan Ogos, bulan Julai kita sudah tunggu," katanya.

Beliau mengingatkan seluruh rakyat Sabah jangan memandang ringan ancaman daripada luar kerana pengganas Sulu sememangnya terkenal dengan budaya membalas dendam.

"Kita jangan leka. Kalau kita leka memang mereka akan menceroboh masuk," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

KJ Sokong Pandangan Akar Umbi

SEREMBAN: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau menyokong sepenuhnya cadangan agar jawatan Ketua Pemuda Umno dipertandingkan dalam pemilihan parti dijadual Oktober ini.

Katanya jika majoriti anggota parti mahukan demikian, pemilihan terbuka wajar diadakan bagi menghormati suara dan kehendak mereka.

"Saya menghormati pandangan dari akar umbi kalau mereka mahu jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan, mengikut kepada pindaan perlembagaan parti kita," katanya kepada pemberita semasa mengadakan ziarah mesra ke kawasan perumahan Taman Pinggiran Senawang, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Pergerakan Pemuda Umno Johor dalam mesyuarat khasnya semalam, yang mahu pemilihan Pemuda Umno Pusat pada perhimpunan agung parti akan datang, dibuat secara terbuka dengan mempertandingkan semua jawatan.

Khairy yang menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno sejak 2008 turut menyangkal akan adanya perpecahan dalaman sekiranya jawatan itu dipertandingkan.

Katanya, walaupun parti kini dalam proses mengukuhkan perpaduan demi berbakti untuk rakyat, namun cadangan akar umbi yang mahukan pemilihan adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

"Tidak semestinya bila ada pertandingan parti kita akan berpecah, kalau kita ada niat yang baik, persetujuan daripada semua calon yang mahu bertanding bahawa pertandingan itu dibuat secara sihat, saya rasa itu tidak akan memecahbelahkan parti," kata Menteri Belia dan Sukan itu.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno, Khairy berkata masih terlalu awal untuk diputuskan perkara itu dan perlu menimbangkan pelbagai aspek termasuk pandangan rakan-rakan sebelum membuat keputusan.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Keluarga Paksa Pulang

Kuala Lumpur: Dulu wanita ini dan pasangannya dibiar merempat bawah jejambat di tepi Sungai Klang, di sini, namun selepas kelahiran bayi sulung, Isnin lalu, 'skrip' kehidupan mereka tiba-tiba berubah.

Maya, 23, suaminya, Zaki, 29, serta bayi lelaki mereka dipaksa mengikut keluarga pulang ke kampung wanita berkenaan di Arau, Perlis, walaupun sebelum ini dia mendakwa langsung tidak dihiraukan keluarga.

Insiden perebutan bayi itu berlaku kira-kira sejam di perkarangan Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur kelmarin, antara Maya dan tiga abang serta bapa saudaranya yang datang dari Perlis untuk mengambil mereka bertiga sebaik pasangan gelandangan itu dibenarkan keluar pada hari sama.

Wartawan Metro Ahad yang berada di situ atas pelawaan Zaki mendapati, suasana tegang antara Maya dan keluarganya turut menarik campur tangan rakan gelandangan mereka yang hadir untuk melawat, seterusnya mencuri tumpuan kakitangan HKL serta pesakit lain.

Ini kerana, Maya tetap dengan keputusan tidak mahu mengikut keluarganya pulang ke kampung, sebaliknya ingin tinggal bersama Zaki dan bayi lelakinya di ibu kota.

http://www.hmetro.com.my/articles/Keluargapaksapulang/Article/?utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Terserlah DAP Membela Blogger Hina Islam

Menjadikan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sebagai subjek serangan, DAP menyerlahkan sikap sebenarnya iaitu membela pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee berhubung tindakan mereka mempersendakan umat Islam dan Ramadan dalam Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka.

"Kita lihat dalam kes blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee, hukuman terlebih dulu dijatuhkan sebelum mereka diberi peluang membela diri. Mereka juga dinafikan ikat jamin atas alasan 'kedua-duanya mempunyai kecenderungan untuk memuat naik gambar yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai'.

"Sikap 'double-standard' dalam sistem pendakwaan Malaysia ini membuktikan kepura-puraan slogan 1Malaysia yang diucapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri. Ibrahim yang membuat hasutan secara terbuka dibiarkan lepas bebas dan malah dipertahankan Menteri UMNO sedangkan Alvin Tan dan Vivian Lee terus dihukum tanpa diberi peluang langsung.

"Ia juga satu penghinaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia adalah sama di sisi undang-undang," kata Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.

Kenyataan terbaru Tony Pua itu menyusul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memulakan serangan yang sama semalam.

Tony Pua yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara dilaporkan Roketkini berkata demikian sebagai membidas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mempertahankan Ibrahim Ali.

Sebelum ini, Abdul Rahman pernah membuat kenyataan bahawa kes Alvin & Vivian dengan kes Ibrahim adalah dua versi yang berbeza.

Menurutnya, Ibrahim sendiri pernah menjelaskan kepada beliau bahawa Presiden perkasa itu hanya mahu membakar kitab injil versi Bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah yang boleh mengelirukan orang Islam serta acara membakarnya adalah cara terhormat seperti mana umat Islam melupuskan Al-Quran lapuk dan disalah cetak.

Sedangkan kata Abdul Rahman, tindakan pasangan penulis blog seks itu bersifat menyerang agama lain, mampu mencetuskan pergeseran agama dan melanggar tatasusila rakyat Malaysia.

Pembelaan Abdul Rahman itu disifatkan Tony Pua sebagai usaha meracuni pemikiran umat Islam untuk membolehkan pembakaran Bible.

"Tidak ada rakyat Malaysia yang akan percaya kata-kata berapi dan penuh emosi Ibrahim itu hanya sekadar 'membetulkan kesilapan cetak Bible'.

"Tindakan Abdul Rahman adalah perilaku yang jelas menghasut supaya orang Melayu dan umat Islam dalam negara membakar kitab suci Kristian kerana ianya 'tidak salah'.

"Ini adalah penghinaan kepada penganut agama lain dan tentu ia tidak boleh diterima dan beliau sepatutnya dikenakan hukuman sewajarnya, namun pihak berkuasa langsung tidak mengambil sebarang langkah," katanya.

Selain itu, Tony Pua juga membuat menuduh bahawa Malaysia dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) yang mengamalan sistem '1Kaum dan 1Agama'.

Kesungguhan DAP mengkritik Ibrahim dan Abdul Rahman dianggap seperti menembak dua ekor burung dengan satu peluru.

Satu sudut, semakin jelas DAP membela Alvin da Vivian dan satu sudut lain, DAP menonjolkan partinya sebagai pembela Kristian.

http://www.anwaraidc.com/?p=37267
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Alvin, Vivian Di Penjara, Mahkamah Tolak Ikat Jamin!

Pasangan menghina Islam dalam Facebook, Alvin Tan, 25 dan Vivian Lee, 24 hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan.

Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mereka didakwa di bawah Akta Hasutan, Akta Penapisan Filem dan juga Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Hakim juga membuat keputusan tidak membenarkan mereka diikat jamin sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Mereka akan dipenjarakan di mana Alvin akan dihantar ke penjara Sungai Buloh, sementara Vivian pula akan dihantar ke penjara Kajang.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Ishak Md Yusoff turut meminta hakim agar ketiga-tiga pertuduhan dibicarakan serentak.

Pihak peguam pembela bagaimanapun memaklumkan bahawa dakwaan Penapisan Filem tidak boleh dibicarakan serentak kerana perkara itu dilakukan pada tarikh berlainan.

Hakim bagaimanapun memutuskan untuk membicarakan ketiga-tiga tuduhan serentak.

Pasangan 'Alvivi' itu telah memuatnaik gambar dan tulisan "Selamat Berbuka Puasa (Dengan Bak Kut Teh.. wangi, enak, menyelerakan!!!) serta logo halal di Facebook.

Tindakan mereka telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak khususnya umat Islam di Malaysia serta disusuli oleh laporan polis dari beberapa NGO.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

DAP Tak Puas Hati Isu Alvin & Vivian

Parlimen, 17 Julai–Parti DAP hingga hari ini masih lagi panas hati dengan dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin semalam di Dewan Rakyat.

Bung Mokthar dalam ucapan perbahasannya semalam mendakwa berkemungkinan tindakan blogger seks, Alvin dan Vivian yang bertindak menghina Islam dan bulan Ramadhan adalah tajaan DAP.

Seterusnya, Bung Mokhtar mahukan pasangan tersebut ditahan dan diberi hukuman yang sewajarnya atas tindakan melampau mereka berdua.

Dalam ucapan yang dibuat oleh Bung Mokhtar, beliau berulang kali menekankan perkataan 'mungkin' supaya pendapatnya tidak disalah tafsirkan.

"Mereka perlu didakwa dan ditangkap serta merta, jangan dibebaskan, penjarakan.

"Saya rasa gejala ini berlaku selepas PRU13, mungkin ini semua tajaan DAP," kata Bung Mokthar.

Kenyataan secara terus dari Ahli Parlimen Kinabatangan itu menerima reaksi pantas dari wakil rakyat DAP iaitu V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Anthony Loke (DAP-Seremban), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang bangun dan membantah dakwaan tersebut.

Pun begitu, Bung Mokthar mempertahankan kenyataannya itu bukanlah tuduhan dan hanyalah sekadar berkemungkinan.

"Bukan saya tuduh seseorang sahaja, saya sebut secara menyeluruh. Saya kata mungkin. Bukan tuduhan," katanya.

Tindakan DAP yang masih tidak berpuas hati atas dakwaan Bung Mokthar itu mengundang kemarahan wakil DAP dari Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula ketika ucapan perbahasan oleh Ahli Parlimen lain selepas sesi Bung Mokhtar selesai.

Namun, tindakan Teresa Kok ditegur oleh Speaker Dewan kerana masih lagi memanjangkan dakwaan tersebut walaupun Bung Mokhtar sudah menarik balik perbahasannya.

Sumber - http://www.mykmu.net/?p=33150&utm_medium=twitter&utm_source=twitterfeed
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Hina Agama: Orang Muda Mahu Kerajaan Bertegas

SHAH ALAM – Pemimpin muda dalam UMNO dan Pas sependapat mahu kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang menghina agama kerana gejala melampau itu semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan mesti bertindak segera membendung perkara itu kerana membahayakan kestabilan dan perpaduan negara.

"Perlu ada tindakan melalui hukuman sekatan. Ini adalah kesan negatif langit terbuka yang wajib dikawal," katanya.

Selain itu, kata Nik Abduh, mereka yang terbabit juga perlu diberi pendidikan moral yang sempurna untuk insaf.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula berkata, agenda perpaduan nasional yang diusahakan oleh kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melihat semua aspek secara mendalam yang berkaitan dengan pemahaman dan menghormati adat, budaya dan agama.

"Menghormati dan memahami agama yang ada di Malaysia perlu didedahkan di peringkat awal. Jika tidak, mereka akan mempersendakannya seperti yang dibuat pasangan itu," kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Exco Pemuda UMNO, Syahrin Md Jamaluddin berkata,  kerajaan tidak harus berlembut dan defensif dalam menangani individu yang hina agama lain kerana perbuatan itu sangat merbahaya.

"Ini bukan pertama kali dan boleh berlaku lagi jika kerajaan ambil mudah," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengimplementasikan undang-undang yang ada dan jangan ambil mudah selepas mereka yang terbabit minta maaf.

"Orang bukan Islam dengan mudah mempermainkan agama Islam yang merupakan agama rasmi negara termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Syahrin berkata, tanpa tindakan tegas, dibimbangi akan mencetuskan kemarahan umat Islam yang mungkin akan bertindak luar jangkaan.-SINAR ONLINE
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

4 Ditahan Bantu Siasatan Kes Culik, Conteng Di Badan

SHAH ALAM 16 Julai - Polis menahan empat daripada lapan lelaki bagi membantu siasatan kes culik seorang penjaga kaunter kafe siber yang di sebuah restoran di Taman Sri Muda di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, dua daripada suspek ditahan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dua lagi ditahan di Kampung Medan, Petaling Jaya dan Ampang dekat sini awal pagi ini.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia 20-an telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Kesemua suspek yang antaranya merupakan penganggur ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Culik dan polis kini sedang mencari empat lagi lelaki untuk membantu siasatan kes yang sama,'' kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Zahedi lagi, pihaknya membuat tangkapan ini selepas menerima laporan mengenai penculikan mangsa daripada keluarganya semalam.

Ujar beliau, setakat ini keterangan daripada mangsa dan teman wanitanya yang turut berada di tempat kejadian semasa penculikan dilakukan belum diperolehi dan punca mengapa dia diculik juga belum diketahui.

"Selepas mangsa ditemui semalam, polis telah membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan dia dibenarkan pulang tanpa diambil keterangan kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Kita akan cuba mendapatkan keterangannya sama ada pada lewat petang ini atau esok pagi bersama teman wanitanya sekali," tambah beliau sambil menegaskan yang setakat ini punca kejadian penculikan masih dalam siasatan.

Dalam kejadian pukul 3 pagi semalam, penjaga kaunter kafe siber terbabit yang sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran di Taman Seri Muda di sini diculik sekumpulan lapan lelaki menaiki sebuah kereta Toyota Alphard.

Mangsa telah dibawa kumpulan lelaki itu ke kawasan hutan sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 4.5, Lebuh Raya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa dekat sini dalam keadaan bogel dengan badannya diconteng beberapa jam kemudian.

Sumber-sumber memberitahu, kumpulan lelaki tersebut hanya menculik mangsa dan meninggalkan teman wanitanya di restoran tersebut bersama semua barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit, rantai emas dan dompet.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke kawasan hutan yang tidak diketahui lokasinya untuk dibogelkan dan diconteng badannya sebelum ditinggalkan di tepi jalan. Seluar, baju dan pakaian dalamnya telah dilarikan.

"Mangsa bernasib baik apabila seorang penunggang motosikal juga seorang anggota polis melalui kawasan terbabit menemuinya pada pukul 12.30 tengah hari semalam sebelum membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju," katanya. - UTUSAN ONLINE
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tok Gajah Mampu Melangkah Jauh: Jalaluddin

Kuantan: Kapten pasukan Pahang, Jalaluddin Jaafar mahu rakan sepasukan memanfaatkan sepenuhnya sesi latihan sepanjang Ramadan bermula malam bagi menghadapi saingan getir Piala Malaysia, bermula 17 Ogos ini.

Pemain paling senior skuad itu berkata, lima kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super yang diraih musim ini diharap memberi motivasi terbaik bagi itu mencatat kejayaan dalam saingan piala berprestij itu nanti.
"Kegagalan meletakkan pasukan dalam kelompok tiga pasukan terbaik tidak harus melunturkan semangat, sebaliknya prestasi lebih baik perlu dipersembahkan.

"Segala kelemahan diharap dapat diatasi terutama menajamkan lagi jentera serangan dengan sokongan bahagian tengah, manakala pertahanan mesti mengurangkan kesilapan.

"Saya percaya Pahang mampu melangkah jauh dalam saingan nanti," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, pemain tengah Mohd Hafiz Kamal berharap kejayaannya menjaringkan empat gol dalam Liga Super diharap dapat diterjemahkan dalam Piala Malaysia.
"Saya dan rakan-rakan akan berusaha memastikan Pahang dapat melangkah ke final.

"Piala Malaysia memerlukan komitmen dan persediaan rapi, saya akan melakukan yang terbaik buat skuad Tok Gajah," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.