JENGKA SENTRAL BAKAL BEROPERASI

MARAN - Projek Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral bernilai RM10 juta di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini, dijangka beroperasi pada Oktober ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, ketika ini kontraktor utama melakukan kerja-kerja terakhir sebelum menyerahkan kepada kerajaan bagi memulakan operasi terminal tersebut.

Menurutnya, projek itu yang bermula 1 Ogos 2011 merupakan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan sebuah terminal pengangkutan bersepadu sempena sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai tahun sama.

"Terminal itu akan menjadi mercu tanda baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka sekali gus meningkatkan imej dan menjadi satu kebanggaan warga peneroka di sini," katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Wisma Peneroka, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan ADUN Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar.

Wan Salman berkata, stesen bas dan teksi yang beroperasi sementara bandar tersebut akan ditutup sebaik sahaja Jengka Sentral beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, pemilihan peniaga di terminal itu juga akan memberi tumpuan kepada penduduk tempatan dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah Maran.

Selain itu, beliau memberitahu, satu lagi projek yang dalam pembinaan di bandar tersebut ialah kompleks sukan yang menempatkan stadium bola sepak Felda bernilai RM87.9 juta dan dijangka siap pada 2015.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment