UPM Bantu Keluarga Pelajar Maut Nahas Bas Genting Highlands

KUALA LUMPUR - Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu dan memberi sumbangan kepada keluarga dua pelajarnya yang terlibat dalam nahas bas di Genting Highlands Rabu lepas.

Kedua-dua pelajar Sains Komputer di peringkat ijazah itu, Sia Chin Shin, 22 dari Johol, Negeri Sembilan dan Kwan Chin Yii, 22, dari Segamat, Johor terbunuh bersama 35 lagi penumpang bas itu dalam kejadian 2.45 petang, selepas bas ulang-alik yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) universiti itu, Prof. Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata, UPM menyumbang RM3,000 kepada setiap keluarga bagi upacara pengembumian mayat kedua-dua pelajar tersebut.

Selain itu, UPM turut menyampaikan RM400 wang tunai dari Tabung Kebajikan Pelajar universiti itu kepada kedua-dua keluarga pelajar terbabit.

"Bantuan manfaat kematian dari insurans sebanyak RM8,000 seorang akan menyusul selepas ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Seluruh warga UPM berdukacita terhadap tragedi ini kerana ia melibatkan pelajar UPM dan berharap keluarga kedua-dua mangsa bersabar," katanya menambah anggota keluarga boleh menghubungi UPM untuk sebarang keperluan berkaitan. - Bernama
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment