Saya Tidak Pernah Bakar Atau Pijak Bendera UMNO. @LokmanAdam


KUALA LUMPUR: Bersumpah tidak pernah memijak bendera UMNO semasa menjadi pembangkang dan menganggap isu itu sengaja dibangkitkan setiap kali dia bertanding.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lokman Nor Adam (gambar) berkata, isu itu timbul buat pertama kali pada tahun 2009 ketika menawarkan diri bertanding exco dan kali ini semasa dia mahu bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO.

 “Saya dah buat sumpah tidak pernah pijak, bakar bendera UMNO seperti yang dituduh. Isu ini keluar setiap kali saya nak bertanding. Persoalannya, perwakilan UMNO bukannya berfikiran sempit, mereka sudah terima saya pada 2009 lagi (Exco Pergerakan Pemuda UMNO) ,” ujarnya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

 Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas itu juga mengulas dakwaan di dunia siber yang mempertikaikan kesetiaannya di dalam UMNO kerana sebelum itu dia dikatakan memijak, membakar bendera Malaysia dan bendera UMNO semasa di dalam pembangkang.

Menurut Lokman, pengalamannya kira-kira enam tahun di dalam Parti Keadilan Rakyat akan digunakan sebagai senjata kepada UMNO untuk berdepan dengan pembangkang. “Jadi saya tahu yang baik dan buruk. Semasa di dalam pembangkang saya tahu gerak kerja, strategi mereka dan memudahkan saya membuat serangan balas,” katanya.

 Satu lagi, faktor Lokman menawarkan diri bertanding memandangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim tidak lagi mempertahankan jawatan nombor dua itu kerana faktor umur selain mahu menggalas tugas ketuanya, Khairy Jamaluddin.

 “KJ dulu lantang berhadapan dan berdebat dengan kerajaan dan sekarang beliau sudah jadi menteri. Bukan lagi standard dia nak buat macam itu. Jadi saya akan galas tanggungjawab berkenaan,” ujarnya yang mengaku sudah berdebat dengan ramai pemimpin pembangkang sepanjang 11 tahun bersama UMNO.

 Selain Lokman, antara yang mengesahkan bertanding ialah Ketua Pemuda Perak, Khairul Azwan, Ketua Pemuda Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Lenggong, Mohd Iruan Zulkefli.

Sumber - Malaysia Gazette

No comments:

Post a Comment