10 Model Kereta Turun Harga

KUALA LUMPUR 10 Jun - Janji kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk menurunkan harga kereta ditunaikan dengan mengurangkan harga 10 model kenderaan dari pelbagai jenama.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamed Madani Sahari berkata, model yang dikurangkan harga kereta terdiri dari jenama Proton, Perodua, Volkswagon, Peugeot dan Honda.

"Bagi kenderaan jenis diimport sepenuhnya (CBU) dari negara yang mempunyai FTA dengan Malaysia, import duti juga telah dikurangkan.

"Sebagai contoh kenderaan CBU dari negara-negara ASEAN telah pun menikmati insentif bebas duti import bermula 2010 lagi, manakala CBU dari Jepun dan Australia juga menikmati insentif sama secara berperingkat hingga 2016," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, bagi model kenderaan import pemasangan tempatan (CKD), jumlah duti eksais adalah pada tahap 65 hingga 105 peratus tetapi jumlah sebenar yang dikenakan hanyalah 40 peratus sahaja.

Katanya, penambahan nilai terhadap komponen tempatan terhadap kenderaan CKD menyebabkan kenderaan tersebut boleh dikurangkan harganya.

Tambah beliau, langkah lain yang digunakan kerajaan dalam mengurangkan harga kereta adalah dengan melakukan liberalisasi industri automotif tempatan dan kaedah tekanan pasaran.

"Dari semasa ke semasa, pengeluar kenderaan, vendor bersama dengan kerajaan akan membuat inisiatif untuk memperkasakan daya saing sektor automotif untuk membantu mengurangkan kos operasi, sekali gus mempengaruhi harga akhir produk," jelasnya.

Mengenai kenderaan yang diturunkan harganya, model-model tersebut merangkumi Peugeot 308 (11 peratus), Volkswagen Golf (7.1%), Preve (3%), Honda Jazz Hibrid (2.5%), Viva (5.4%), Myvi (4%), Persona (3.8%), Alza (3.4%), Saga (1.1%) dan Exora (0.7%).

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment