PBNP Terkilan

Jurulatih serta pemain Pahang menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban PBNP menjelaskan denda yang dikenakan atas kejadian 28 mei yang lau.


KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terkilan dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang seolah-olah membayangkan persatuan itu mengambil keuntungan daripada insiden pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur di sini pada 28 Mei lalu.

Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, kenyataan seumpama itu bukan sahaja mempertikaikan integriti persatuan ini tetapi seolah-olah menghukum peminat dan penyokong bola sepak Pahang.

"Kami berpendapat kenyataan seumpama itu tidak seharusnya keluar daripada seorang Menteri kerana selain berat sebelah dan tidak membina, ia juga menjatuhkan semangat peminat bola sepak.
"PBNP dapat merasakan kekecewaan peminat dan penyokong bola sepak Pahang terhadap kenyataan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PBNP, Rizal Chek Hashim pada sidang akhbar di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim.

Pada majlis itu juga turut diadakan kutipan derma bagi membantu mengurangkan beban PBNP untuk membayar denda sebanyak RM100,000 yang dikenakan akibat insiden tersebut.

Khairy sebelum ini dilaporkan menyalahkan PBNP dan pesuruhjaya perlawanan ketika itu yang gagal bertindak dengan baik sehingga menyebabkan perlawanan ditunda.

Khairy juga mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikatakan tidak bertindak adil apabila memperuntukan 60,000 tiket yang dikeluarkan kepada PBNP.

Menurut Tengku Abdul Rahman, PBNP percaya kenyataan itu dibuat kerana ketidakpekaan atau terlepas pandang Khairy terhadap fakta sebenar insiden tersebut.

"Beliau seharusnya memberi kritikan, cadangan dan buah fikiran yang positif supaya insiden seumpama itu tidak berulang terutamanya ketika negara menyaksikan kebangkitan sokongan peminat.

"Daripada menuding jari mencari kesalahan sesama kita adalah lebih wajar untuk semua pihak berganding bahu mencari jalan supaya tahap sokongan ini semakin meningkat," katanya.

Kata beliau, perhatian juga perlu diberikan kepada aspek meningkatkan kemudahan dan keselamatan di semua lokasi perlawanan liga kebangsaan bagi menjamin ketenteraman dan keselesaan pemain serta penyokong sepanjang masa.

"Kami harap semua pihak peka terhadap perasaan peminat dan penyokong bola sepak negeri ini yang bersusah payah datang ke stadium," katanya.

Dalam pada itu, katanya, PBNP juga akur terhadap keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang menjadualkan semula perlawanan tersebut di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan Pahang diberi status tuan rumah.

"Tindakan FAM memperuntukkan 60,000 tiket kepada PBNP seharusnya tidak dipersoal kerana ini adalah dianggap wajar dan bersesuaian dengan status tuan rumah yang diberikan oleh FAM kepada PBNP," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130606/su_01/Terkilan-kenyataan-Khairy#ixzz2VUFSoTdO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment