4 Ahli Geng Susu Kangkang Diburu

KAJANG: Geng Susu Kangkang yang mencuri susu tepung berjenama yang pernah ditumpaskan polis daerah ini pada Ogos tahun lalu kembali mengganas dengan kejadian terbaru berlaku di Pasar Raya Tesco Taman Pelangi di Semenyih di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, empat suspek yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki dipercayai warga tempatan melarikan 13 tin susu tepung pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM700.

Kejadian tersebut disedari oleh pengawal keselamatan pasar raya berkenaan yang curiga dengan tindak-tanduk kumpulan tersebut termasuk tiga suspek wanita yang memakai jubah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian itu, tiga suspek wanita tersebut menyembunyikan tin susu tepung berjenama itu di celah kangkang masing-masing sebelum beredar.

"Pemeriksaan lanjut pihak pengurusan kemudian mendapati sebanyak 13 tin susu tepung berjenama telah hilang di pasar raya berkenaan sebelum pihak pasar raya membuat laporan polis.

"Kita akan meneliti televisyen litar tertutup di premis tersebut bagi membantu siasatan," kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Ab. Rashid memberitahu, kes curi menggunakan modus operandi tersebut adalah yang pertama diterima polis selepas sekumpulan lapan suspek mencuri susu tepung dengan cara sama ditumpaskan pada 16 Ogos 2012.

Seorang daripada lapan suspek itu merupakan wanita.

Kumpulan lapan suspek itu dipercayai telah terlibat mencuri sebanyak 160 kotak susu tepung bernilai RM12,800 dalam tempoh dua tahun bergerak aktif di beberapa buah kedai serbaneka dan pasar raya di sekitar daerah Kajang.

Geng Susu Kangkang sebelum ini melakukan jenayah tersebut di Kedah dan Perlis sebelum melebarkan kegiatan mereka di kawasan Kajang.

Modus operandi kumpulan itu ialah ahli kumpulan memakai jubah atau berbaju kurung besar bagi memasukkan kotak atau tin susu tepung di celah kangkang.

Mengulas lanjut, Ab. Rashid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan empat suspek yang mencuri di Pasar Raya Tesco di Taman Pelangi itu merupakan saki-baki Geng Susu Kangkang yang ditumpaskan tahun lalu.

Sumber - malaysiandigest.com
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment