Jangan Putar Belit Fakta Undi Popular Dakwa Menang Pilihanraya...!!!!

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan meminta agar kepimpinan Pakatan Pembangkang berhenti menghasut rakyat dengan mendakwa mereka telah memenangi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU) hanya berdasarkan undi popular yang diperolehi Pakatan Pembangkang melebihi undi popular yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Pakatan telah menang berdasarkan angka undi popular itu seolah-olah menggambarkan bahawa keseluruhan rakyat di negara ini telah menolak BN.

"Anwar cuba menimbulkan persepsi di kalangan rakyat bahawa Pakatan telah menang dengan memutar belitkan fakta undi popular, serta cuba memperlihatkan kepada umum bahawa rakyat di seluruh negara telah menolak BN," tegasnya dihadapan pemberita dalam sidang akhbar di Putra World Trade Center (PWTC) di sini hari ini.

Tegasnya, kenyataan Ketua Pembangkang itu adalah merupakan satu pembohongan yang nyata dan BN perlu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat di negara ini bagi menangkis segala pembohongan dan fitnah yang dilontarkan oleh Pakatan kepada BN.

"Hanya negeri Selangor saja menjadi penyumbang terbesar jumlah undi popular yang diperolehi oleh Pakatan Pembangkang iaitu lebih dari 400 ribu undi, yang juga merupakan perbezaan jumlah keseluruhan undi seluruh negara antara BN dan Pakatan.

"Sedangkan BN telah memperolehi undi popular di sembilan buah negeri dan pakatan pembangkang memperolehi undi popular hanya di lima buah negeri saja iaitu Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan termasuk Selangor. Di situ saja sudah jelas bahawa dakwaan rakyat menolak BN tidak benar," jelasnya.

Justeru itu, beliau meminta rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan fitnah pembangkang yang mendakwa mereka telah memenangi PRU ke 13 ini hanya dengan berdasarkan kelebihan undi popular yang mereka perolehi.

"Saya ingin jelaskan bahawa undi popular mereka hanyalah 50 peratus manakala undi popular BN pula ialah 47 peratus manakala bakinya sebanyak tiga peratus itu adalah undi bebas dan undi rosak.

"Jadi jangan hanya kerana undi popular mereka lebih tiga peratus, mereka kata Pakatan layak untuk menjadi kerajaan. Ini tidak betul kerana kaedah yang kita gunakan ialah dengan siapa yang mempunyai lebih kerusi layak untuk mentadbir negara dan bukannya berdasarkan undi popular," tegasnya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didapati memfitnah suruhanjaya tersebut berhubung dakwaan wujudnya penipuan ketika berlansungnya Pilihanraya Umum ke 13 baru-baru ini.

Menurut beliau, SPR sewajarnya bertindak untuk menyaman pihak yang terbabit yang menyebarkan fitnah tersebut bagi membersihkan nama baik suruhanjaya tersebut.

"Saya mengesyorkan kepada SPR supaya menyaman mana-mana pihak, baik NGO, individu mahupun parti-parti politik yang didapati memfitnah dan mencemarkan nama baik SPR. Mereka tuduh berlakunya blackout, melarikan peti undi dan sebagainya yang terbukti hanya fitnah semata-mata.

"Bukan susah untuk menyaman mereka kerana bukti-bukti tohmahan dan fitnah mereka itu bercetak di akhbar-akhbar mereka dan juga rakaman ucapan pemimpin-pemimpin mereka di dalam ceramah-ceramah dan rapat umum yang mereka adakan terutamanya selepas PRU baru-baru ini.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment