Perdana Menteri Jepun & China Ucap Tahniah Kepada Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak terus menerima perutusan tahniah daripada pemimpin dunia atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia, dengan terbaru daripada Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Dalam perutusan berasingan, Abe berkata Jepun dan Malaysia telah menikmati ikatan berbilang lapisan dengan disokong dengan pertukaran modal insan berdasarkan 'Dasar Pandang Ke Timur'.

Ia adalah sebagai tambahan kepada hubungan ekonomi melalui perdagangan dan pelaburan yang berkembang maju, katanya.

"Saya ingin terus bekerjasama dengan anda bagi memastikan keamanan dan kemakmuran di rantau Asia Pasifik manakala membangunkan hubungan dua hala yang mesra.

"Saya tidak sabar untuk bertemu dengan anda serta melibatkan diri dalam pertukaran pandangan dalam isu-isu serantau dan global serta hubungan dua hala," katanya.

Dalam pada itu, Li berkata China dan Malaysia merupakan jiran tradisi yang mesra dan hubungan mereka telah maju ke hadapan dalam hubungan antara China dan lain-lain negara Asean.

"Sejak penubuhan hubungan diplomatik 39 tahun lalu, kepercayaan bersama dalam soal politik telah diperkukuhkan manakala pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang semakin mendalam," katanya.

Beliau juga berkata China amat menghargai kerjasama dua hala dalam perdagangan, pelaburan, kewangan dan bidang lain yang telah mencapai kemajuan yang luar biasa.

Beliau juga mahu bekerjasama rapat dengan Najib bagi meningkatkan kerjasama strategik ke tahap baharu serta mengekalkan secara bersama pembangunan yang stabil dan sihat dalam hubungan China-Asean.

Sementara itu, dalam perutusan sama, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad lepas, mencerminkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Najib.

"Saya mendoakan beliau sihat walafiat semoga dipanjangkan usia serta kemakmuran kepada Barisan Nasional dan rakyat Malaysia," katanya dalam perutusan yang dihantar oleh pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa berkata pelantikan semula Najib sebagai Perdana Menteri adalah bukti kepada keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan kemampuan beliau menerajui negara ke arah mencapai kemajuan yang lebih gemilang.

Beliau berkata Sri Lanka dan Malaysia berkongsi satu hubungan yang teguh berdasarkan daya tarikan bersama dan saling menghormati yang terus berkembang.

"Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa hubungan mesra antara dua negara kita akan terus diperkukuhkan dan kerjasama dalam bidang baharu dapat diperluaskan," katanya.

Dalam pada itu, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Shukur Sabitove berkata kejayaan BN menunjukkan kemajuan Malaysia dalam memperkasakan institusi demokrasi di negara ini.

Beliau berkata kemenangan itu telah mewujudkan keadaan yakin untuk Najib meneruskan pelaksanaan program transformasi kerajaan dan ekonomi untuk mencapai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Oleh itu, tiada keraguan bahawa dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia akan mendapat pencapaian baharu dalam pembangunan ekonomi, menarik pelaburan asing, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan perpaduan negara," kata Sabitov dalam perutusan tahniah kepada Najib dan BN.

BN berjaya menubuhkan kerajaan pusat selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU13.

Pada Isnin lepas, Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini.

Sumber - www.astroawani.com
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment