Polis Pahang terima 187 laporan berkaitan PRU13

KUANTAN - Polis Pahang menerima 187 laporan berkaitan  Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sejak Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata daripada jumlah itu, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka manakala 12 laporan masih di peringkat inkuiri.

"Selebihnya 153 laporan berjaya diselesaikan disebabkan tiada sebarang kesalahan berkaitan dengan pilihan raya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sharifuddin berkata daripada siasatan yang dijalankan, hanya satu kes dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh atas kesalahan menurunkan kain rentang parti.

Dua suspek berumur 46 dan 50 tahun telah dikenakan hukuman mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Sharifuddin berkata pihaknya turut menyiasat 13 laporan mengenai blogger yang memuat naik bahan lucah di laman sesawang.

Daripada jumlah itu, dua kes telah diambil tindakan mengikut Seksyen 292 (A) Kanun Keseksaan dan satu kes mengikut Seksyen 467 yang membabitkan kesalahan pemalsuan dokumen.

Beliau turut mengingatkan penyokong parti supaya tidak membahayakan diri dengan berdiri di dalam kumpulan kecil di tepi jalan raya sambil berkempen memegang bendera parti.

Beliau memberi jaminan polis sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan perjalanan proses sebelum dan selepas PRU13 berjalan lancar dan terkawal.

Pengundi juga dinasihat agar keluar lebih awal ke pusat pengundian dan membawa kad pengenalan bagi mengelak kesesakkan. - Bernama
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment