Peluang Pemuda Curah Bakti

Putrajaya: Calon Pergerakan Pemuda UMNO yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) perlu dipertimbangkan untuk menganggotai jemaah menteri, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat Mohd Hisamudin Yahya.

Beliau berkata, tiba masanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi peluang kepada Pemuda UMNO untuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat.

"Penyertaan Pemuda sangat penting untuk membuktikan transformasi politik, sekali gus memberi peluang kepada golongan muda memperlihatkan bakat kepemimpinan masing-masing, selain membantu memberi pandangan dalam kerajaan.

"Ia juga sebagai satu bentuk latihan mendapatkan pengalaman oleh pemimpin muda sebagai persiapan pada masa depan, tambahan pula hanya empat calon Pemuda menang di peringkat Parlimen,'' katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Hisamudin berkata, beliau yakin Kabinet campuran yang menggandingkan barisan lama dan muka baru dapat memberi idea lebih baik untuk masa depan negara.

Katanya, ia dapat memantapkan lagi aspirasi rakyat yang mahu melihat pemimpin pelapis meneruskan agenda perjuangan negara dan hak rakyat.

"Dasar kerajaan yang mengambil kira peranan dan pandangan orang muda akan membawa negara terus ke depan dan saya yakin Pemuda UMNO tidak akan mempersia-siakan peluang ini," katanya.

Dalam PRU-13, empat calon pergerakan itu yang menang ialah Ketuanya, Khairy Jamaluddin di Parlimen Rembau; Datuk Razali Ibrahim (Parlimen Muar); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Parlimen Kepala Batas), Anuar Manap (Parlimen Sekijang).

Sumber - www.hmetro.com.my
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment